Selasa, 4 Disember 2012

Petani Kubur Panjang rugi sawah ditenggelami air


 
Seramai 20 pesawah di Kampung Perupok, Kubur Panjang di Pendang kerugian lebih RM20,000 akibat sawah mereka yang keseluruhan seluas 28.35 hektar ditenggelami air sebanyak empat kali mulai awal September lepas.

Ketua Unit Padang Kampung Perupok, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubor Panjang, Ahmad Tarmizi berkata kejadian terbaharu berlaku empat hari lalu akibat hujan lebat, ketika anak padi berusia dua minggu.

Beliau berkata punca utama sawah ditengelami air ialah kerana tali air yang sepatutnya menyalurkan air ke Sungai Lampam tersumbat dan menyebabkan air bertakung hampir seminggu.


Tali air itu dikatakan tidak diselenggara sejak 20 tahun lepas.


"Sepatutnya hujung bulan depan, padi sudah boleh dituai," katanya.


Ahmad berkata perkara tersebut pernah diadu kepada Jabatan Perairan dan Saliran, namun gagal diatasi.

Seorang pesawah Ahmad Zaki Ladin, 48, yang mengusakan sawah seluas 1.2 hektar berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM2,000.


"Kita beli benih padi dengan cara berhutang dengan PPK. Satu kampit berharga RM30. Dengan keadaan ini, kita tidak dapat jelaskan hutang sementara hasil padi tidak dapat dipastikan," katanya.

(Sumber: Bernama Dis 4 2012)

Isnin, 3 Disember 2012

'Mak, adik pergi ' mana?'

Mak, adik pergi mana
Naimah bersama anak kembar perempuannya yang masih terlantar kerana cedera di kepala.


4 Disember 2012
PENDANG – ‘Mak, adik pergi mana? Banyak kerja sekolah dia yang masih tidak siap,’ itulah soalan Nurul Fitrah Sharul Anuar, 5, yang sering ditanya berkenaan kembarnya Shahrul Fitri yang maut bersama neneknya Munah Ismail, 64, selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Kobah dekat sini pagi kelmarin.

Nurul Fitrah yang juga terlibat dalam kemalangan itu telah dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar akibat kecederaan yang dialami.


Ibunya, Naimah Khalid, 33, berkata, dia dan suami telah memohon untuk membawa anak mereka pulang ke rumah selepas mendapati Nurul Fitrah hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.


Menurutnya, mereka membawa anaknya itu pulang ke rumah petang kelmarin bagi menguruskan jenazah ibu dan anaknya.


“Selepas majlis pengebumian selesai kira-kira 5.30 petang kelmarin, Nurul Fitrah beberapa kali bertanya di mana adiknya pergi sehinggalah pagi ini (semalam) dia masih bertanya kerana ingin membuat kerja sekolah bersama-sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mentuanya dekat Kampung Kobah semalam.


Naimah berkata, pertanyaan yang kerap kali diajukan anaknya itu membuatkan dia dan suami tidak mampu menahan kesedihan memandangkan mereka juga turut merindui anak kembar lelakinya itu walaupun redha dengan pemergiannya.


“Saya beritahu, Fitri telah meninggal bersama nenek, namun Fitrah hanya terdiam dan terus menatap kain selimut kesayangan adiknya yang baru dibeli oleh ayah mereka baru-baru ini.
"Dia juga hanya mendiamkan diri sambil melihat buku pelajaran memandangkan dia masih lagi tidak boleh berjalan berikutan kecederaan yang dialami," katannya.

Arwah berubah sebelum meninggal


Seluruh ahli keluarga kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di Batu 13 Suku Kampung Kobah dekat sini tidak menyangka perubahan yang ditunjukkan arwah Munah dan  Fitri merupakan petanda mereka akan pergi selama-lamanya.
Suami Munah, Ghazali Awang, 63, yang masih bersedih dengan pemergian isteri dan cucunya sehingga dia tidak mampu melelapkan mata malam semalam.

"Arwah banyak berubah sehingga malam sebelum kejadian arwah meminta saya untuk menyelimutkannya ketika tidur di ruang tamu bersama tiga cucu.


“Arwah juga turut menyerahkan semua wang yang disimpannya kepada saya dan turut memaklumkan bahawa dia (arwah) tidak sempat menggosok pakaian saya kerana sibuk dengan majlis kenduri.


“Dia juga turut memberitahu cucu sulung bahawa dia akan mati namun saya menganggap ia satu gurauan dan malam sebelum kejadian arwah dan semua cucu tidur awal tetapi tidak menyangka semua perubahan yang saya lihat adalah petanda dia ingin pergi selama-lamanya,” katanya.
Ghazali berkata, arwah cucunya sempat mencium adik bongsunya, Shahrul Mulkan yang baru berusia setahun dan sempat bermain sebelum keluar membeli roti canai di warung dekat rumah.

Tambahnya lagi, pemergian isterinya turut dirasai oleh rata-rata penduduk kampung kawasan ini kerana arwah merupakan Pengerusi Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) kawasan Kobah dan merupakan ketua masakan untuk majlis kenduri.


Arwah berkali-kali meluahkan hasrat ingin berkhatan


Sharul Anuar Ghazali, 32, masih lagi tidak dapat menahan rasa sedih setiap kali mengenangkan anak kembar lelakinya yang maut dalam kemalangan itu terutamanya mengenangkan kata-kata arwah yang beberapa kali meluahkan hasrat ingin berkhatan.
Shahrul turut memaklumkan bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang dengan kematian anak dan ibunya.
Arwah Fitri dan Munah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kobah.

Sinar Harian semalam melaporkan hajat seorang nenek membawa dua cucu kembarnya berjalan kaki untuk membeli roti canai di sebuah warung tidak kesampaian setelah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di jalan Batu 13 Suku Kampung Kobah dekat sini pagi kelmarin.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan Munah dan Fitri maut manakala cucu perempuannya, Fitrah dan seorang penduduk kampung, Mohd Jailani Abd Rahman, 43, cedera.


Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi berkata, kereta yang melanggar mangsa dipandu seorang remaja lelaki bersama teman wanitanya masing-masing berusia 17 tahun.


Katanya, kereta terbabit turut merempuh lima motosikal yang berada di depan gerai roti canai menyebabkan seorang yang ketika itu berada di atas motosikal patah kaki kiri.

(Sumber: Sinar harian) 

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT


Sila datang beramai-ramai. sila bawah tikar dan tempat duduk jika perlu. Kehasiran ramai pastikan datang awal untuk mengelakkkan kesesakkan lalu lintas.

Jumaat, 30 November 2012

PAK NDAK YA MENINGGAL DI MEKAH


Gambar kenangan allahyarham Pak Ndak Ya di sawahnya di kampung Bukit Lala, Pokok Sena. allahyarham meninggal akibat lelah selepas selesai mengerjakan ibadah haji.

Allahyarham tidak sempat untuk ziarah ke Madinah bersama rombongannya. Rombonganya terpaksa berlepas dahulu manakala allahyarham koma di hospital di Mekar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, Al Fatihah ...Amin.