Isnin, 13 April 2009

YB S. MANIKUMAR ANGKAT SUMPAH EXCO

ALOR SETAR - Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau yang diadakan 7 April lalu telah memberi kemenangan kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB. S. Manikumar, sekaligus menjadikan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau. Sebagai menunakan janji yang dibuat oleh YAB Menteri Besar terhadap pengundi Bukit Selambau, kini S. Manikumar dilantik pula sebagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pelantikan beliau telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Istiadat Pelantikan telah berlangsung di Istana Anak Bukit.

Upacara tersebut diadakan serentak dengan pelantikan Penasihat Undang-undang Negeri Kedah baru, YB. Tuan Anas Ahmad Zakie, menggantikan YB. Dato’ Zakiah Kassim yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.

YB. S. Manikumar dan YB. Tuan Anas mengangkat sumpah di hadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.
YB. S. Manikumar, 35, menggantikan bekas Exco V. Arumugam yang meletakkan jawatan pada Februari lalu.

Beliau kini merupakan Exco yang memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Turut berkenan berangkat pada istiadat itu adalah KDYMM Tuanku Sultanah, Sultanah Hajjah Haminah Haji Hamidun. Hadir sama ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
@ Portal Rasmi Kerajaan Kedah