Jumaat, 11 Disember 2009

Jangan guna cara UMNO - Anwar

ALOR SETAR 11 Dis. 2009 - Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang tidak menggunakan pendekatan UMNO dalam menarik perhatian rakyat terhadap parti itu.

Menurut beliau, pemimpin berkenaan perlu terus mendekatkan diri dengan rakyat bagi mendengar masalah dan keluhan mereka. Katanya, propaganda yang digunakan oleh UMNO seperti menyalurkan projek-projek kebajikan kepada rakyat tidak boleh digunakan oleh pemimpin pakatan pembangkang.

"Kita tidak boleh ulang pendekatan lama dan harus ada satu cara untuk mendekati rakyat. "Kita harus dengar, memahami masalah dan melibatkan rakyat di dalam projek-projek pembangunan," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Konvensyen Majlis Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (WEHDAH) di Dewan Sri Mentaloon di sini hari ini. Menurut Anwar, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah dalam menguruskan kewangan negeri dan sumber balak perlu dipuji.

"Pendekatan telus yang digunakan oleh kerajaan negeri Kedah dalam menguruskan hasil balak adalah salah satu pendekatan yang mendekatkan kerajaan dengan rakyat. "Ini bukan perkara kecil dan bayangkan berapa banyak wang balak yang masuk ke dalam poket-poket orang tertentu sebelum ini," katanya.
(Sumber : Utusan Online 12 dec. 2009)

Isnin, 7 Disember 2009

Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri

ALOR SETAR, 8 Dis 2009 : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki. "Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya . Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.

(Sumber : Harakahdaily)