Rabu, 6 April 2011

MB tuai hasil pertama nanas Kedah Agro

BUKIT KAYU HITAM – Sebagai simbolik terhadap hasrat Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur beliau turun padang untuk menuai sendiri hasil pertama tanaman nanas ladang Kedah Agro di Laka Temin.

Kedah Agro melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Cashcrop Sdn Bhd telah membangunkan ladang nanas yang berkeluasan 50 ekar disewa daripada Syarikat Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd telah ditanam dengan 650,000 batang sulur sejak April 2010.

Hasil daripada kejayaan tersebut telah menarik minat seorang pemilik tanah berhampiran untuk turut serta mengusahakan tanaman nanas. Beliau memberi sewa 50 ekar kepada Kedah Agro Cashcrop. Kini, keluasan tanaman telah mencecah 100 ekar.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan turut menyaksikan perjanjian usahasama yang ditandatangani antara Kedah Agro Cashcrop dengan syarikat pengeksport hasil pertanian, Tropical Precious Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian, hasil tanaman Kedah Agro akan dipasarkan oleh Tropical Precious untuk pasaran antarabangsa, iaitu ke China, Dubai, Taiwan dan Hong Kong.

Seminggu sebelum itu, YAB Dato’ Seri turut melakukan lawatan kerja ke projek tanaman nanas di Kampung Sungai Batu Pahat, Merbok. Projek ini diusahakan oleh seorang usahawan dibawah bimbingan Jabatan Pertanian.

Selain itu, Kedah Agro juga sedang giat mengusahakan tanah seluas 800 ekar di Bukit Tangga yang ditanam dengan nanas seluas 200 ekar dan selebihnya ditanam dengan tanaman kontan lain seperti betik dan pisang. Projek ini sudah dimulakan sejak Februari lalu.
(Sumber: Warta Daru Aman)