Khamis, 2009 November 05

Kedah tingkatkan pendapatan hutan 205.5%

Kerajaan negeri Kedah berjaya meningkatkan pendapatan hasil hutan negeri sebanyak 205.5 peratus apabila pendekatan tender terbuka dilakukan. Peningkatan ini berjaya dibuat walaupun jumlah kawasan balak yang ditebang tidak meningkat, kata anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

"Semasa BN memerintah Kedah dahulu balak yang diluluskan ditempat lain, tempat lain pula yang ditebang. "Sehektar balak milik rakyat yang untungnya mungkin mencapai puluhan ribu ringgit tetapi hanya RM1000 sahaja premiumnya kembali kepada kerajaan ketika itu. "Dengan tindakan terkini Datuk Seri Azizan membuka tender balak maka sekaligus ia melonjakkan pendapatan yang diraih oleh Kerajaan Negeri Kedah.

"Dengan tender terbuka ini perolehan pendapatan hutan ini telah meningkat 205.5 peratus jika dibandingkan semasa pentadbiran BN dahulu," katanya. Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah berkata, bagi tahun 2007 semasa Kedah ditadbir oleh Kerajaan BN pendapatan Kerajaan Negeri ketika itu hanyalah berjumlah RM9.21 juta dan kini telah meningkat kepada RM28.14 juta.

"Dengan peningkatan jumlah ini maka banyak manfaat dapat digunakan bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Kedah. Ini semua adalah ekoran kepimpinan kerajaan negeri yang memahami permainan politik balak yang telah dimainkan sebelum ini oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,"katanya lagi.

Kerajaan negeri juga terpaksa berdepan dan menanggung kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum ini dengan mewariskan legasi hutang mereka berjumlah RM2 bilion.

Menurut Mohd Nasir, prestasi pentadbiran Kerajaan Kedah dibawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi tahun pertama sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 menunjukkan kewangan Kedah adalah memuaskan.
Sumber : Harakahdaily – 6Nov. 2009)

Jumaat, 2009 Oktober 30

Alor Setar 27 Okt. 2009 — Dua lelaki termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan haram semasa cuba menghantar memorandum kepada Ketua Biro akhbar Kosmo Kedah, Ahmad Syahir Kassim di Bangunan Tunku, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, Ahmad dan seorang anggota Exco Dewan Pemuda Pas Kedah itu ditahan selama satu jam untuk diambil keterangan berhubung insiden yang berlaku kira-kira 4.30 petang. Beliau berkata, kedua-dua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menganjurkan perhimpunan haram tanpa permit dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

KEDAH 100 HARI

Sabtu, 2009 September 26

MAHFUZ JUMPA MB

ALOR SETAR, 26 Sept 2009 : Masalah longgokkan sampah terutama di kawasan perumahan di sekitar bandaraya ini, dijangka dapat diselesaikan awal November ini selepas sebuah syarikat swasta mengambil alih kerja-kerja mengangkut sisa buangan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.

"Ini berikutan dari permintaan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu menyemak semula terma-terma berkaitan nasib pekerja MBAS selepas penswastaan kerja-kerja mengangkut sampah.

"Sekarang lori-lori mereka sudah sampai, masalah ini kena selesai betul-betul supaya tidak jadi masalah berlarutan dan kita harap ia selesai pada November ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini.

Ustaz Azizan memberi respon terhadap laporan media yang mendakwa bandar raya Alor Setar semakin kotor kerana terdapat banyak longgokan sampah yang tidak diangkut sehingga menyebabkan bau busuk. Menurutnya lagi, masalah berkenaan bukanlah perkara baru dan bukanlah salah kerajaan negeri.

"Dari segi pentadbiran, kita tak boleh buat apa-apa keran ini adalah permintaan dari Ceupacs sendiri. Kita menyedari tentang ketidakselesaan rakyat. Saya berasa dukacita dan memohon maaf kepada orang ramai yang berasa kurang selesa," ujarnya lagi.

Sabtu, 2009 September 12

Mahfuz ucap terima kasih kepada Dr M


KUALA LUMPUR, 13 Sept 2009 : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa kemenangan yang akan diperolehi tidak akan kekal jika prestasinya lemah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang memotivasikan lagi rakyat yang cintakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang apabila bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyatakan Umno dan BN mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu.

"Dr Mahathir kata, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang. "Apa yang beliau nyatakan itu merupakan peringatan yang sangat berguna kepada Pakatan. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Serentak dengan itu, beliau menggesa para pemimpin Pakatan mengingati kembali kenyataan Dr Mahathir November lalu di mana bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa parti-parti lawan BN sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.

"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya," Mahfuz mengingatkan. Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.

Mahfuz menyeru kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR dan para pemimpin PR memastikan diri mereka bersih dari gejala-gejala yang melanda Umno yang dinyatakan oleh Dr Mahathir. "Ketika (Presiden MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu semalam menyatakan orang-orang India menyampah dengan BN, para pemimpin PR mestilah sedar bahawa bukan orang-orang India sahaja yang menyampah dengan BN malah sukar dinafikan bahawa majoriti rakyat negara ini menyampah dengan BN.

"Oleh itu, jika para pemimpin PR dilihat tidak berbeza dengan para pemimpin BN, rakyat akhirnya akan menyampah dengan PR," beliau mengingatkan. Ketika mengulas penolakan rakyat Jepun terhadap LDP yang memerintah negara itu sejak Perang Dunia Kedua, Dr Mahathir berkata, fenomena tersebut tidak mustahil berlaku terhadap BN.

Jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, beliau tidak menolak kemungkinan para pengundi yang kecewa akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad.

"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan. "Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya. Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya. Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh". Dr Mahathir berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan LDP apabila memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.
(sumber : Harakahdaily)

'Pengundi India menyampah dengan BN, bukan saya'

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata masyarakat tidak mengundi BN kerana mereka menyampah dengan gabungan tersebut, dan bukan menyampah dengan beliau.

Sebaliknya, ahli politik berusia 73 tahun itu berkata beliau dijadikan kambing hitam ekoran kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum lalu.

"Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat menyampah dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

"Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN," katanya yang gagal mempertahankan kubu kuatnya di parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya Umum Mac tahun lalu.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya serta tewas 12 daripada 19 kerusi DUN.
(Sumber : Malaysiakini - 12 Sep. 2009)

Arkib : Koleksi ucapan pemimpin

Rabu, 2009 Ogos 26

SULTAN PERKENAN RADZI GUGUR

LIM SOO NEE GANTI

ALOR SETAR, 26 Ogos 2009 : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa Selasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, Rabu.

Menurut beliau lagi, Sultan Kedah turut memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu manakala majlis angkat sumpah akan diadakan minggu depan.

Mohd Radzhi sebelum ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas. Berikutan tindakan itu, Azizan menghadap Sultan Kedah bagi menyerahkan surat memohon perkenan supaya Mohd Radzhi yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas digugurkan daripada jawatan Exco.

Tindakan itu dibuat berikutan Mohd. Radzhi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri bukan lagi mewakili komponen Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya menyifatkan tindakan Mohd Radzhi itu tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN). Mohd Radzhi sering dihebohkan dengan dakwaan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika menjadi Exco pula, dalam keadaan disifatkan sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkian beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.
(Sumber : Zulkifli Sulong . Harakahdaily)

Selamat Datang Ke Kedah Ku Jua