Isnin, 11 Oktober 2010

Air: Pemuda PAS Kedah lapor SPRM

ALOR SETAR, 11 Oktober2010: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai di negeri itu.

Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya berkata, pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan air di negeri itu mendorong pihaknya membuat laporan kepada SPRM.

“Kami dah buat laporan rasmi tentang penyelewengan isu air seperti mana yang disiarkan media sebelum ini dan kita serah sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

"Laporan setebal dua muka surat itu berjaya diserahkan terus kepada Pengarah SPRM Kedah, Datuk Idrus Jaafar di pejabatnya pagi tadi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Azizan telah mendedahkan penyelewengan kos pembinaan loji pembersihan air di Padang Sanai berjumlah RM155 juta berbanding harga sepatutnya mengikut piawaian hanya di sekitar RM50 juta ke RM60 juta sahaja.

Satu lagi loji yang turut didedahkan ialah loji pembersihan air di Lubuk Buntar yang berharga RM65 juta berbanding harga sebenar di antara RM25 juta ke RM30 juta sahaja.

Turut bersama mengiringi Ahmad ialah Timbalan Ketua DPPNK, Muhammad Sanusi Md Nor, Naib Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Izzat Shauki, Setiausaha DPPNK, Mohd Rosli Azmi dan beberapa Exco DPPNK.

Rabu, 6 Oktober 2010

MB Kedah serah SPRM siasat penyelewengan air

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa Barisan Nasional memerintah negeri itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod.

"Kita tengok banyak penyelewengan dari segi harga contohnya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat Kulim) untuk 25 juta liter air, kos sebenar pembinaannya ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta, tapi wang yang dibelanjakan ialah RM65 juta.

"Maklumat ini kita dapat secara tak rasmi, kalau nak yang rasmi SPRM kena cari," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad semalam bahawa pemimpin BN tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan mengenai penyelewengan berhubung isu air itu.

Azizan berkata bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.

"Kerja lain banyak lagi nak buat. SPRM kan rajin, tengok (berdasarkan) kenyataan dalam blog pun mereka dah siasat," katanya.

- Bernama