Selasa, 21 April 2009

TIDAK WAJAR DENDA LETAK JAWATAN


ALOR SETAR 21 April 2009 - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan tidak wajar untuk mengenakan denda kepada wakil rakyat yang melepaskan jawatannya walaupun tanpa alasan yang kukuh.

Beliau berkata, ia merupakan hak seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen itu sendiri untuk membuat keputusan mengenai jawatan yang dipegang mereka kerana tiada sebarang perjanjian dibuat mengenai perkara berkenaan sewaktu dilantik.
"Pasal apa nak denda. Ikut suka dia, itu hak dialah. (Melainkan) Kalau masa kita lantik dia dulu kita cakap kamu tak boleh letak jawatan, kalau dia letak kita dendalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Asrama Puteri Madrasah At Taklimiah Al Khariah di Kampung Tok Keling di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai cadangan Pemuda Gerakan Kedah agar penalti RM50,000 bagi ADUN dan RM100,000 bagi anggota Parlimen yang melepaskan jawatan tanpa sebab munasabah. Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, jika peletakan jawatan itu atas alasan bagi mendapat mandat baru daripada pengundi bagi ADUN terbabit untuk menyertai parti gabungan, penalti itu perlu dikurangkan separuh.

Dalam pada itu, mengenai penyebaran foto 'tidur' ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, Azizan meminta orang ramai supaya menghormati kehidupan peribadi wakil rakyat tersebut. Menurutnya, tidak adil jika seseorang itu mencerobohi ruang peribadi orang lain kerana ia bukan amalan budaya yang baik.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan