Selasa, 4 Disember 2012

Petani Kubur Panjang rugi sawah ditenggelami air


 
Seramai 20 pesawah di Kampung Perupok, Kubur Panjang di Pendang kerugian lebih RM20,000 akibat sawah mereka yang keseluruhan seluas 28.35 hektar ditenggelami air sebanyak empat kali mulai awal September lepas.

Ketua Unit Padang Kampung Perupok, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubor Panjang, Ahmad Tarmizi berkata kejadian terbaharu berlaku empat hari lalu akibat hujan lebat, ketika anak padi berusia dua minggu.

Beliau berkata punca utama sawah ditengelami air ialah kerana tali air yang sepatutnya menyalurkan air ke Sungai Lampam tersumbat dan menyebabkan air bertakung hampir seminggu.


Tali air itu dikatakan tidak diselenggara sejak 20 tahun lepas.


"Sepatutnya hujung bulan depan, padi sudah boleh dituai," katanya.


Ahmad berkata perkara tersebut pernah diadu kepada Jabatan Perairan dan Saliran, namun gagal diatasi.

Seorang pesawah Ahmad Zaki Ladin, 48, yang mengusakan sawah seluas 1.2 hektar berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM2,000.


"Kita beli benih padi dengan cara berhutang dengan PPK. Satu kampit berharga RM30. Dengan keadaan ini, kita tidak dapat jelaskan hutang sementara hasil padi tidak dapat dipastikan," katanya.

(Sumber: Bernama Dis 4 2012)

Isnin, 3 Disember 2012

'Mak, adik pergi ' mana?'

Mak, adik pergi mana
Naimah bersama anak kembar perempuannya yang masih terlantar kerana cedera di kepala.


4 Disember 2012
PENDANG – ‘Mak, adik pergi mana? Banyak kerja sekolah dia yang masih tidak siap,’ itulah soalan Nurul Fitrah Sharul Anuar, 5, yang sering ditanya berkenaan kembarnya Shahrul Fitri yang maut bersama neneknya Munah Ismail, 64, selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Kobah dekat sini pagi kelmarin.

Nurul Fitrah yang juga terlibat dalam kemalangan itu telah dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar akibat kecederaan yang dialami.


Ibunya, Naimah Khalid, 33, berkata, dia dan suami telah memohon untuk membawa anak mereka pulang ke rumah selepas mendapati Nurul Fitrah hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.


Menurutnya, mereka membawa anaknya itu pulang ke rumah petang kelmarin bagi menguruskan jenazah ibu dan anaknya.


“Selepas majlis pengebumian selesai kira-kira 5.30 petang kelmarin, Nurul Fitrah beberapa kali bertanya di mana adiknya pergi sehinggalah pagi ini (semalam) dia masih bertanya kerana ingin membuat kerja sekolah bersama-sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mentuanya dekat Kampung Kobah semalam.


Naimah berkata, pertanyaan yang kerap kali diajukan anaknya itu membuatkan dia dan suami tidak mampu menahan kesedihan memandangkan mereka juga turut merindui anak kembar lelakinya itu walaupun redha dengan pemergiannya.


“Saya beritahu, Fitri telah meninggal bersama nenek, namun Fitrah hanya terdiam dan terus menatap kain selimut kesayangan adiknya yang baru dibeli oleh ayah mereka baru-baru ini.
"Dia juga hanya mendiamkan diri sambil melihat buku pelajaran memandangkan dia masih lagi tidak boleh berjalan berikutan kecederaan yang dialami," katannya.

Arwah berubah sebelum meninggal


Seluruh ahli keluarga kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di Batu 13 Suku Kampung Kobah dekat sini tidak menyangka perubahan yang ditunjukkan arwah Munah dan  Fitri merupakan petanda mereka akan pergi selama-lamanya.
Suami Munah, Ghazali Awang, 63, yang masih bersedih dengan pemergian isteri dan cucunya sehingga dia tidak mampu melelapkan mata malam semalam.

"Arwah banyak berubah sehingga malam sebelum kejadian arwah meminta saya untuk menyelimutkannya ketika tidur di ruang tamu bersama tiga cucu.


“Arwah juga turut menyerahkan semua wang yang disimpannya kepada saya dan turut memaklumkan bahawa dia (arwah) tidak sempat menggosok pakaian saya kerana sibuk dengan majlis kenduri.


“Dia juga turut memberitahu cucu sulung bahawa dia akan mati namun saya menganggap ia satu gurauan dan malam sebelum kejadian arwah dan semua cucu tidur awal tetapi tidak menyangka semua perubahan yang saya lihat adalah petanda dia ingin pergi selama-lamanya,” katanya.
Ghazali berkata, arwah cucunya sempat mencium adik bongsunya, Shahrul Mulkan yang baru berusia setahun dan sempat bermain sebelum keluar membeli roti canai di warung dekat rumah.

Tambahnya lagi, pemergian isterinya turut dirasai oleh rata-rata penduduk kampung kawasan ini kerana arwah merupakan Pengerusi Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) kawasan Kobah dan merupakan ketua masakan untuk majlis kenduri.


Arwah berkali-kali meluahkan hasrat ingin berkhatan


Sharul Anuar Ghazali, 32, masih lagi tidak dapat menahan rasa sedih setiap kali mengenangkan anak kembar lelakinya yang maut dalam kemalangan itu terutamanya mengenangkan kata-kata arwah yang beberapa kali meluahkan hasrat ingin berkhatan.
Shahrul turut memaklumkan bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang dengan kematian anak dan ibunya.
Arwah Fitri dan Munah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kobah.

Sinar Harian semalam melaporkan hajat seorang nenek membawa dua cucu kembarnya berjalan kaki untuk membeli roti canai di sebuah warung tidak kesampaian setelah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di jalan Batu 13 Suku Kampung Kobah dekat sini pagi kelmarin.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan Munah dan Fitri maut manakala cucu perempuannya, Fitrah dan seorang penduduk kampung, Mohd Jailani Abd Rahman, 43, cedera.


Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi berkata, kereta yang melanggar mangsa dipandu seorang remaja lelaki bersama teman wanitanya masing-masing berusia 17 tahun.


Katanya, kereta terbabit turut merempuh lima motosikal yang berada di depan gerai roti canai menyebabkan seorang yang ketika itu berada di atas motosikal patah kaki kiri.

(Sumber: Sinar harian) 

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT


Sila datang beramai-ramai. sila bawah tikar dan tempat duduk jika perlu. Kehasiran ramai pastikan datang awal untuk mengelakkkan kesesakkan lalu lintas.

Jumaat, 30 November 2012

PAK NDAK YA MENINGGAL DI MEKAH


Gambar kenangan allahyarham Pak Ndak Ya di sawahnya di kampung Bukit Lala, Pokok Sena. allahyarham meninggal akibat lelah selepas selesai mengerjakan ibadah haji.

Allahyarham tidak sempat untuk ziarah ke Madinah bersama rombongannya. Rombonganya terpaksa berlepas dahulu manakala allahyarham koma di hospital di Mekar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, Al Fatihah ...Amin.

Jumaat, 29 April 2011

CERAMAH DATO' HUSAM DI MARKAS BUKIT LADA

29 April 2011 - Dato' Husam Musa Ekso kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan ceramah di Markas PAS Bukit Lada sempena kehadirannya untuk merasmikan Mesyuarat Agong PAS kawasan Pokok Sena pada hari sabtu di Markas PAS Pokok Sena jalan Langgar.

Ceramah bermula pada pukul 9.00 malam dimulakan ucapan pengerusi majlis dan diikut ucapan aluan YB Ustaz Izzat adun Bukit Lada. Selepas ucapan Ustaz Ahmad Izzat Dato' Mahfus Omar membei ceramahnya.

Dato' Husam sebagi penceramah jemputan telah memberi ceramahnya yang berkisar tentang kisah pejuangan Nabi Yusuf dan konpirasi politik Malaysia, majlis berakhir pada jam 12.00 malam.

Rabu, 6 April 2011

MB tuai hasil pertama nanas Kedah Agro

BUKIT KAYU HITAM – Sebagai simbolik terhadap hasrat Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur beliau turun padang untuk menuai sendiri hasil pertama tanaman nanas ladang Kedah Agro di Laka Temin.

Kedah Agro melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Cashcrop Sdn Bhd telah membangunkan ladang nanas yang berkeluasan 50 ekar disewa daripada Syarikat Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd telah ditanam dengan 650,000 batang sulur sejak April 2010.

Hasil daripada kejayaan tersebut telah menarik minat seorang pemilik tanah berhampiran untuk turut serta mengusahakan tanaman nanas. Beliau memberi sewa 50 ekar kepada Kedah Agro Cashcrop. Kini, keluasan tanaman telah mencecah 100 ekar.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan turut menyaksikan perjanjian usahasama yang ditandatangani antara Kedah Agro Cashcrop dengan syarikat pengeksport hasil pertanian, Tropical Precious Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian, hasil tanaman Kedah Agro akan dipasarkan oleh Tropical Precious untuk pasaran antarabangsa, iaitu ke China, Dubai, Taiwan dan Hong Kong.

Seminggu sebelum itu, YAB Dato’ Seri turut melakukan lawatan kerja ke projek tanaman nanas di Kampung Sungai Batu Pahat, Merbok. Projek ini diusahakan oleh seorang usahawan dibawah bimbingan Jabatan Pertanian.

Selain itu, Kedah Agro juga sedang giat mengusahakan tanah seluas 800 ekar di Bukit Tangga yang ditanam dengan nanas seluas 200 ekar dan selebihnya ditanam dengan tanaman kontan lain seperti betik dan pisang. Projek ini sudah dimulakan sejak Februari lalu.
(Sumber: Warta Daru Aman)

Isnin, 4 April 2011

Exco bongkar isu Seri Temin di Sidang DUN

ALOR SETAR, 4 Mac 2011 – Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) gagal mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas perbelanjaan yang dilakukan hampir RM8 juta.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah mendedahkan, Jabatan Audit Negara tidak meluluskan sumbangan oleh STDC daripada pengecualian daripada LHDN sebanyak hampir RM8 juta bagi tempoh 2003 hingga 2008.

“Audit negara telah buat teguran agak keras perkara berkaitan belanja-belanja yang dapat pengecualian cukai dari LHDN, iaitu pengecualian cukai korporat yang perlu dibayar.

“Audit buat teguran kerana STDC, sebanyak hampir RM8 juta dibelanjakan untuk diharapkan dapat pengecualian LHDN, akhirnya tak lulus, maka kita kena bayar cukai tersebut,” jelas beliau bagi menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Ketil, YB Md Zuki Yusof dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah ke 12, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Ketiga.

Menurut beliau, pembayaran dan sumbangan tersebut yang kebanyakannya adalah atas nama politik dan bukan atas aktiviti kerajaan negeri.

“Antara pembayaran yang dilakukan adalah persiapan tempat majlis Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, tunai kepada UMNO Negeri sebanyak RM200 ribu pada 19 April 2007, yang paling banyak kita tengok berlaku pada pilihanraya umum 12 iaitu pada Februari 2008.

“Pihak Audit telah buat penelitian dalam perkara-perkara tersebut dan mendapati pembayaran yang dilakukan oleh STDC tidak berkepentingan dan tidak berkaitan dengan aktiviti dan objektif penubuhan STDC,” ujar beliau.

Berdasarkan prestasi kewangan, STDC mencatatkan kerugian selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2007 dan 2008, masing-masing berjumlah RM2.56 juta dan RM0.15 juta.

Dalam tempoh 18 bulan di bawah pengurusan yang baru, STDC berjaya memperbaiki prestasi kewangannya dengan mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan 2009 berjumlah RM0.34 juta. Faktor ini adalah disebabkan beberapa langkah yang diambil oleh pengurusan baru STDC seperti mengawal had pemberian sumbangan dan tajaan.